Popular Posts

Tuesday, July 2, 2024

Kalau Saya Rasa Ada Aura Toksik Yang Mengganggu Fikiran Saya, Apakah Ia Bermula Daripada Diri Saya Atau Keadaan Sekeliling Saya?




Assalamualaikum. Selamat sejahtera.

Saya rasa terpanggil untuk menulis di sini semula kerana saya perlu meluahkan perasaan saya.

Sebenarnya, saya sedang mengalami gangguan fikiran yang agak melampau. Terasa seperti orang di sekeliling saya dan perkara-perkara yang berlaku di sekitar saya terlampau toksik sehingga menyebabkan diri saya menjadi toksik.

Untuk permulaan, saya sedang cuba merungkai punca masalah yang sedang saya alami sekarang. Saya mengalami trauma childhood di mana saya mempunyai masalah social anxiety yang tak didiagnosis terutamanya ketika berada di kelompok orang dewasa semasa saya kecil. Bagi saya, orang dewasa adalah 'bukan kawan' saya. Puncanya, saya dibesarkan dalam keadaan tiada sesiapa yang peduli tentang emosi saya. Walaupun saya seorang yang happy go lucky di kalangan kawan-kawan saya, tetapi saya menjadi penakut apabila berada di kalangan orang dewasa. Saya rasa lost. Saya rasa tak boleh nak bergaul. Arwah abah dan emak tak pernah cuba berkomunikasi dengan saya dan beramah-mesra dengan saya ketika saya kecil. Saya dibesarkan dalam keadaan menjadi seorang yang berdikari dan berani dari segi fizikal dan mental. Tetapi, dari segi emosi saya, sepertinya kosong.

Disebabkan perihal di atas, ketika meniti usia dewasa saya menjadi seorang yang mudah 'jatuh cinta' atau 'jatuh sayang' bila seseorang mengambil berat pasal saya. Saya menjadi seorang yang mudah percaya dan cuba menjadi seorang yang positif dalam hubungan berkasih-sayang antara sesama manusia tidak kira lelaki atau pun perempuan sebagai tindak balas daripada perbuatan mengambil berat seseorang itu.

Namun, kerana terlalu percaya dan terlalu positif, akhirnya perbuatan-perbuatan itu memakan diri sendiri juga. Betapa naifnya diri ini kerana bukan semua orang sebaik yang disangka dan memang ada orang jahat dan orang yang berpura-pura di dalam dunia yang penuh ujian ini. Bahkan, mereka sendiri tidak tahu apa yang mereka buat itu salah (atau mereka berpura-pura tidak tahu? Wallahua'lam).

Rasa serik untuk berkasih-sayang. Broken? Mungkin. Sehingga sekarang masih tiada rasa ingin berpasangan. Juga rasa takut untuk berpasangan kerana melihat kualiti calon-calon ketua keluarga di luar sana seperti semakin berkurang kualitinya.

Bahkan di tempat kerja saya juga terasa kurangnya kualiti seorang ketua saya. Rasa nak tinggalkan saja tempat kerja ini dan cari ketua baru, ketua yang lebih baik. Apa entah lagi di alam perkahwinan nanti. Takkan saya nak bercerai-berai hanya disebabkan isu ketua keluarga tidak berkualiti? Entahlah. Perasaan ini... Saya yang toksik ke? Atau sememangnya persekitaran yang toksik? Saya tak pandai nak handle keadaan ini. Tak pandai nak mengubah sikap seseorang untuk menjadi lebih baik dan bertanggungjawab. Biasanya, saya yang akan galas tanggungjawab tersebut dan selesaikannya dengan cara saya sehingga mental saya menjadi penat kerana saya rasa hanya saya seorang yang mengambil kisah tentang tanggungjawab tersebut yang seharusnya dibuat bersama-sama.

Saya pernah menjalani sesi kaunseling dengan beberapa orang Pakar Keluarga dan Pakar Psikologi. Sewaktu itu, saya suspek saya mengalami ADHD dan depression kerana saya mengalami masalah kurang fokus dan mudah lupa ketika melakukan sesuatu pekerjaan juga mudah stress. End up, saya didiagnosis dengan Adjustment Disorder sahaja yang mana saya bersyukurlah ia bukan suatu penyakit yang memerlukan ubat klinik melainkan hanyalah ubat 'terapi' secara lisan dan menulis.

Pun begitu, di saat usia saya yang semakin lanjut, saya semakin rasa takut untuk menghadapi hari tua dengan keadaan tidak tahu sama ada duit simpanan saya mencukupi atau tidak sehingga saat saya menutup mata buat selama-lamanya nanti. Namun, saya masih berusaha untuk membuat tabungan untuk masa depan saya.

Alhamdulillah sumber pendapatan sekarang masih OK walaupun persekitarannya bagi saya agak toksik. Entahlah. Zaman sekarang ini, di mana-mana saja ada manusia toksik. Mungkin saya tak boleh nak memasang harapan yang terlalu tinggi untuk menukar pekerjaan dengan harapan bertemu dengan persekitaran kerja yang tidak toksik. Mustahil barangkali?

Di zaman yang serba keras ini, sebenarnya kita kena lebih bersedia untuk menguatkan mental kita supaya tidak terjebak dengan perkara-perkara yang merugikan kita dan orang sekeliling kita. Itu sebab saya pantang sangat melihat anak-anak muda yang mensia-siakan keupayaan fizikal dan mental mereka untuk perkara yang bukan-bukan. Contoh paling nyata: hisap rokok, hisap vape. Kenapa nak biarkan diri bergantung kepada benda-benda itu? Kalau tak dapat hisap sehari, menggigil mat... Kenapa nak rosakkan diri? Iye lah. Mungkin mereka fikir tak ada kerosakan apa pun pada diri mereka kalau mereka hisap buat sedap-sedap mulut je. Masalahnya, tak rosak ke? Kalau dah sampai tahap menggigil badan sebab tak hisap, tak rosak ke namanya? Rosak lah tu. Sebab apa? Sebab kamu menjadikan diri kamu bergantung kepada sesuatu yang selain Allah! Fikir-fikirkanlah.

Namun begitu, manusia ini memang hidupnya untuk diuji kerana kita ni kan cuma hambaNya. Manusia baik diuji, manusia jahat pun diuji. Tapi, bagi saya apa yang paling menakutkan bilamana manusia baik diuji di saat dirinya terasa baik. Waktu ini, kadangkala terfikir apakah silap kita? Sedangkan Allah itu sendiri memang berhak untuk menguji kita. Dia nak tengok sejauh mana baiknya iman kita bilamana kita diuji. Apakah hanya merungut dan terus menjadi sesat atau berusaha untuk menghadapi ujian tersebut dengan menggunakan akal fikiran yang diberi? Wallahua'lam.

Iman turun naik wak... Allah juga sebaik-baik Maha Pendengar.

Terima kasih sudi baca. Mana yang baik jadikan tauladan, mana yang buruk jadikan sempadan.

Assalamualaikum.